ads

ISU REMPUHAN : 'SAMPAI DI RUMAH MAYAT, SAYA TENGOK WAJAH ARWAH TERSENYUM'

Tags:




Terlalu berat ujian ini untuk saya semasa mengerjakan ibadah haji ini. Arwah sebenarnya memang berniat sangat nak mengerjakan haji mengikut sunnah Rasullullah. Dia seorang yang sangat mencintai Rasulullah. Setiap kali dia tazkirah kepada saya dan anak-anak, selalu dia menceritakan tentang Rasulullah. Kadang-kadang sampai menangis-nangis.


Sebelum mengerjakan haji dia ada memaklumkan kepada saya, dia nak berjalan kaki dari Muzdalifah hingga ke Mina. Tapi saya menasihatkan dia supaya mengikut arahan Tabung Haji. Tetapi riak wajah dia berubah. Bila saya tengok riak wajah dia berubah, saya pun berubah hati bagi keizinan dia berjalan kaki dari Muzdalifah ke Mina.


Pada malam 9 Zulhijjah di Muzdalifah, saya dan ibu saya menaiki bas dan arwah masih berada di muzalifah, di mana dia akan berjalan kaki pada 10 Zulhijjah selepas terbit fajar.


Selepas saya telefon dari jam 7.30 pagi 10 Zulhijjah itu, dia maklumkan pada saya dia telah sampai ke Mina. Alhamdulillah, dia sudah sampai. Saya meminta dia balik ke khemah Malaysia dahulu memandangkan saya rasa dia agak keletihan sebab dia kata dia nak meneruskan melontar di jamrah. Tetapi dia kata tak apa, dia yakin Allah, jadi dia akan terus juga melontar.


Jadi saya kata, nanti bila dah sampai di jamrah, bagaimana keadaan abang nak pulang ke khemah Malaysia. Sedangkan kita tak tahu tempat ini macam mana. Dia kata tak apa, dia akan tunggu saya di Jamrah.


Dalam jam 1.30, ada rempuhan di Mina. Saya terus menelefonnya tapi tidak dijawab. Saya dah maklumkan pada Tabung Haji pada waktu petang. Alhamdulillah, pihak Tabung Haji meminta saya bersabar dan tindakan akan diambil memandangkan jemaah terlalu ramai dan sesak untuk membuat rondaan.


Pada hari terakhir saya nak pulang ke Makkah, saya berhubung semula dengan pihak Tabung Haji untuk bertanyakan tindakan yang seterusnya dan pihak Tabung Haji telah mula membuat rondaan mencari arwah. Alhamdulillah, selepas saya balik ke Makkah, saya tunaikan solat taubat. Saya buat solat hajat minta arwah ditemui juga dalam apa jua keadaan pun. Tak sampai lima minit, pihak Tabung Haji menghubungi saya, arwah sudah dijumpai dan minta saya membuat pengecaman di rumah mayat.


Sampai di rumah mayat, subhanallah. Saya tengok wajahnya tersenyum jika dibandingkan dengan gambar-gambar lain.


Memang dia seorang suami yang baik, bertanggungjawab, tidak pernah meninggikan suara, seorang yang lemah lembut. Sepanjang perkahwinan, tidak pernah sekali pun bergaduh.


Saya minta semua rakyat Malaysia mendoakan arwah tergolong dalam golongan orang-orang yang soleh para syuhadah. Terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan Malaysia yang banyak membantu saya dan keluarga.


Saya sangat sedih dengan ujian ini tetapi saya redha Pencipta mengambil kembali hakNya dan meminjamkan lelaki yang sangat baik untuk saya. Doakan agar saya kuat untuk menghadapi kehidupan yang akan datang. - Puan Suriahanim Abd Hamid.



Post a Comment

Lagi Yang Viral