JIKA ada yang tidak tahu sebelum ini Zizan Razak ada memberitahu dia mempunyai perancangan untuk berkahwin di usia 30 tahun. Bagaimanapun disebabkan kisah cintanya putus di tengah jalan akhirnya dia tidak menolak tiada lagi perancangan sebenar yang dia akan menamatkan zaman bujang kini. Namun menyorot perasaan hati, Zizan tidak mahu menipu diri bahawa berkahwin kini menjadi impian utamanya, selepas melihat keadaan kerjaya yang semakin stabil.
“Saya akui berkahwin adalah impian utama saya kini, namun dalam masa yang sama saya juga masih mencari waktu yang sesuai untuk ke arah itu.
“Soal bersedia atau tidak jika tiba waktunya nanti saya akan berkongsi juga,” katanya.
Sekali lagi menjelaskan mengapa dia terlalu berahsia soal pilihan hatinya kali ini, kata Zizan tidak perlu dia mengulangi kesilapan lalu lagi. Jika sebelum ini dia sudah melihat akibat, tentunya kali ini ada cara berbeza yang perlu dipilih.
“Saya pernah ke tahap untuk berkahwin tetapi tidak jadi, maka kita belajar dari situ untuk tidak terlalu berkongsi jika belum pasti.
“Bukanlah niat saya sebenarnya mahu merahsiakan sangat, tetapi ini permintaan keluarga juga. Soal pilihan pula tidak 100% saya tinggalkan untuk keluarga buat pilihan, sebab saya tahu yang akan berkeluarga adalah saya,” katanya.
Dalam ketenangan ini tiba-tiba Zizan digegarkan dengan perkongsian bekas kekasih yang Zizan khabarnya cuba memburukkan keadaan dengan berkongsi kisah tidak benar mengenai perpisahan mereka. Menolak perkara itu sekeras-kerasnya, kata Zizan dia sendiri terkejut dengan apa yang berlaku.
“Saya tidak tahu mengapa dia bertindak begitu, tetapi bagi saya tiada sebab untuk saya bercerita tentang dia memandangkan kami sudah tiada apa-apa hubungan.
“Bagaimanapun harus saya akui perbuatannya ini tidak disenangi saya dan keluarga. Bagaimanapun saya maafkan sahaja apa yang berlaku,” katanya.
Dituduh playboy pada masa yang sama, tambah Zizan itu salah satu tuduhan yang agak menggelikan hati. Enggan ambil pusing, harapnya Emma akan terus bahagia dengan apa juga keputusan diri.
“Kat mana yang boleh kata saya playboy? Cuba kongsi sedikit boleh.
“Saya maafkan sahaja dia dan doakan sahaja dia bahagia. Sebab saya mahu semua orang bahagia dan hanya memberi fokus kepada kehidupan mereka sahaja,” katanya ringkas.
Cabang baharu
Melihat dunia seni sebagai punca utama rezekinya kini, kata Zizan tiada sebab untuk dia takut untuk menceburi bidang perniagaan pula. Sudah mempunyai empat buah restoran dan sebuah kedai serbaneka, tentunya ini satu lagi kejayaan yang di cipta Zizan ini.
“Apa yang saya lihat mengenai perniagaan ini adalah potensi untuk terus berkembang dengan lebih baik pada masa depan.
“Saya pilih Kelantan sebagai lokasi pertama pembukaan Zizan Mart adalah kerana percaya negeri ini bakal membuka peluang yang mudah untuk saya membuka lebih banyak cawangan kelak. Memang saya idamkan untuk membuka tiga buah kedai serbaneka di setiap daerah di negeri ini,” katanya.
Bermodalkan hampir RM200,000 sebagai permulaan, kata Zizan niatnya bukan sahaja untuk menambah pendapatan tetapi berusaha membantu golongan muda dalam mencari peluang perniagaan.
“Saya buat keputusan ini lebih kurang sebulan dengan pertolongan beberapa ahli lembaga pengarah yang berada di bawah Zizan Group kami berbincang mengenai konsep kedai serbaneka ini.
“Akhirnya kami bersetuju untuk memberi kelebihan kepada pembeli melalui penawaran harga berpatutan. Selain itu juga kami sebenarnya mahu membekalkan peluang perniagaan kepada anak-anak muda di negeri ini,” jelasnya.
Post a Comment